Sunday, November 28, 2010

Bisnes Kerja Kahwin : 'Industri' Yang Semakin Menjadi-Jadi

Ada jemputan kenduri kahwin di mana-mana tak hari ni? Confirm ada, ya tak? Kurang-kurang ada dua rumah. Cuti sekolah le katakan. Berebut orang nak kahwin masa ni. Siapakah yang tersengih lebar sampai ke telinga masa-masa macam ni? Tentulah orang-orang yang terlibat dalam bisnes perkahwinan seperti andaman, segala macam aksesori, gajet dan juga katering. Bisnes sebegini telah menjadi satu lubuk berharga bagi orang-orang yang terlibat. Tidak keterlaluan jika dikatakan suatu hari nanti bisnes sebegini akan menjadi satu 'industri' baru di negara kita, sebagaimana hiburan yang telah diiktiraf sebagai industri tidak lama dulu.

Kos yang terpaksa dikeluarkan untuk satu-satu majlis perkahwinan pada hari ini bukanlah calang-calang lagi. Kurang-kurang 7 atau 8 ribu belanja hangus. Hampir semua belanja itu akan hangus selepas selesai majlis kahwin. Ianya melibatkan wang hantaran, pelamin, pakaian persalinan, pakej video/fotografi, cenderahati dan berbagai-bagai lagi 'gajet' baru yang terus direka-reka dan dimomok-momok oleh pengusaha-pengusaha dalam bisnes ini. Selesai majlis perkahwinan yang walau sebagaimana mewah sekalipun, segala gajet atau aksesori akan berakhir di dalam tong sampah juga. Banyak sungguh pembaziran berlaku di sana sini.

Pengaruh perkahwinan artis-artis,VIP dan VVIP juga tidak kurangnya telah menular di kalangan orang-orang biasa. Nak dibuat ala kadar takut pula dikata atau diumpat orang. Buat majlis yang grand, alamatnya sampai anak ke berapa la baru habis hutangnya. Nak kahwin pun dah 'disusahkan' sekarang ni. Jangan melatah atau melenting kalau ada yang memilih untuk berkahwin di sempadan Siam. Ada banyak kes-kes kahwin sebegini yang disebabkan tak larat nak menurut 'rentak' orang sekarang yang semakin menjadi-jadi. 

Nampaknya trend menjadi-jadi ini telah menjadi 'point of no return' yang tiada tanda-tanda akan berpatah balik ke arah kesederhanaan. Contoh mudah, kalau dulu para tetamu akan diberi 'bunga telur' (memang ada telur rebus) setiap seorang, tetapi sekarang ini tidak lengkap rasanya kalau tidak menghadiahkan tetamu dengan goody bag yang isi kandungannya bukanlah murah berbanding telur rebus. Lebih-lebih lagi goody bag orang yang ada-ada. Bayangkan bagi anak-anak cucu kita yang akan datang, berapakah kos yang perlu dikorbankan untuk 'merajai' pengantin barang sehari (atau sekadar beberapa jam)'?

Mozar : Bagi yang tak mampu tapi buat-buat mampu, menganjurkan 'Wedding of the Year' bermakna mengundang 'Years of Suffering'.
Gambar hiasan : Gubahan hantaran yang mewah

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...