Monday, February 21, 2011

Tidakkah Ini Ironik?

Biasa dengar perkataan 'ironik' tak? Perkataan ini memang jarang kita gunakan dalam karangan, apatah lagi dalam perbualan harian. Maksud sebenarnya agak susah juga hendak diterangkan. Ianya lebih kurang suatu perkara yang bertentangan dari yang sepatutnya kita jangkakan atau juga dua perkara yang berlaku 180 darjah dari yang sepatutnya dalam masa yang sama. Untuk lebih faham lagi, Google atau Bing imej-imej di bawah kata kunci 'ironic'. Macam-macam gambar-gambar yang ironik dapat anda saksikan.

Dalam bahasa persuratan kita akan gunakan perkataan 'ironi' atau 'ironis', kalau tak silap. Tapi saya rasa 'ironik' lebih sedap. Penyanyi Amerika, Alanis Morisette pernah mempunyai single yang bertajuk 'Ironic' yang mana liriknya agak menarik juga. Dalam entri kali ini mari kita tengok serba sedikit perkara-perkara ironik yang mungkin dekat dengan kehidupan kita seharian. Jangan marah kalau ianya merapu atau menyinggung sesiapa. Hanya untuk suka-suka aje.


1. Anda pergi ke tempat yang senyap seperti perpustakaan untuk study tetapi di telinga tersumbat earphone yang mendendangkan pelbagai bunyi yang membingitkan telinga.

2. Anda membeli bawang besar tetapi masih terpilih-pilih bawang besar yang terkecil. Bila membeli bawang kecil pula, anda terpilih-pilih pula bawang kecil yang terbesar.

3. Anda ditertawakan orang kerana membeli barangan yang digelar 'cap ayam' yang sangat rendah kualitinya. Tetapi orang tidak mampu mentertawakan anda bila anda membeli sardin 'Cap Ayam' yang harganya jauh lebih mahal dari sardin-sardin cap lain.

4. Anda mengaku sebagai pencinta merah tetapi rasa bagai nak pitam bila tengok darah merah keluar membuak-buak.

5. Kempen 'Tak Nak' dibuat bagai 'Nak Rak' tetapi 'Tak Nak' hapuskan lesen pengeluaran rokok. Sambil layan 'Nang Nak', rokok bersusun atas rak.

6. Anda makan masakan gulai kicap tetapi masih mahu bersulamkan kicap. Kes dah terbiasa le tu. Kalau tak ada kicap tak lalu makan!

7. Anda menghidupkan pendingin hawa di rumah dan di pejabat untuk menyejukkan badan tetapi anda berselubung seluruh tubuh bagai berada di Pergunungan Alps.

8. Anda rela bekerja keras bertungkus lumus demi keselesaan dan kesenangan hidup anda sekeluarga. Namun, anda sanggup pula mengorbankan masa selesa santai yang anda ada untuk anda bekerja lebih keras. Macamana tu?

9. Anda berusaha sedaya upaya untuk menguruskan badan tetapi anda sedaya upaya juga cuba mencari parking kenderaan yang betul-betul di muka pintu tempat/premis yang ingin anda kunjungi. Nak berjalan dan mengeluarkan peluh dalam jarak beberapa puluh tapak pun tak sanggup.

10. Anda sanggup memandu berkilo-kilometer jauhnya hanya untuk membeli barangan di kedai/hypermarket yang harganya hanya murah 10 ke 20 sen sahaja dari kedai berdekatan rumah anda. Duit petrol dah berapa?

11. Anda berbangga punyai beratus-ratus 'Friends' di dalam Facebook, tetapi di alam realitinya hanya beberapa orang sahaja yang betul-betul mahu berkawan dengan anda. Itu pun anda yang invite kawan-kawan, bukan depa yang invite pun.

12. Anda seorang yang penakut pada hantu tetapi masih gemar menakutkan diri anda dengan menonton filem-filem seram. Tetapi, hampir tak pernah pula dengar orang yang takutkan anjing tetapi cuba mengacah-ngacah anjing supaya dia dikejar.

13. Anda tersengih-sengih seraya mengangkat tangan bila berselisih dengan kawan-kawan, tetapi malangnya tiada balasan. Rupa-rupanya anda sedang memandu kereta yang bercermin gelap. Tak nampak batang hidung pun dari luar.

14. Anda membuang sampah sesuka hati bila berada di tempat-tempat awam. Di masa yang lain, apabila sampah-sampah ringan diterbangkan angin masuk ke halaman rumah anda, anda rasa bagai nak amuk satu kampung. Entah-entah itu sampah anda sendiri yang pulang mencari tuannya.

15. Anda gagah berani bak panglima perang bila bekerja, beriadah atau juga berbalah. Akan tetapi di subuh hari nak angkat selimut untuk bersolat subuh pun tak berapa nak mampu. Apatah lagi untuk berjamaah subuh di surau atau masjid.

16. Anda seorang yang petah berkata-kata serta berhujah termasuk mematahkan hujah-hujah lawan dengan keras. Akan tetapi bila disuruh mengimami solat, andalah orang yang pertama menyorok-nyorok serta sila mempersilai orang lain untuk ke depan.

17. Ini tentang saf solat berjemaah pula. Jika sedang mengerumuni makanan free, semua orang tak mengira orang lain langsung. Tolak menolak dan celah mencelah. Ironinya, kalau nampak ada saf jemaah yang kosong pula, alahai sopannya anda sila mempersilai. Padahal saf yang terkehadapan yang lebih banyak pahalanya dari yang di belakang.

18. Anda telah pandai membaca sejak anda berumur 3 tahun lagi tetapi berapa buah bukukah yang anda telah habis baca seumur hidup anda?

19. Anda memandu di jalanraya yang lurus selurus-lurusnya, tetapi anda pula yang perlu berhati-hati apabila ada pemandu yang ingin menyusur masuk dari sebelah kiri atau kanan jalan. Sepatutnya yang menyusur masuk yang perlu awas dan berhati-hati sambil memberi laluan kepada pemandu dari jalan yang lurus. Terbalik kot!

20. Anda sibuk mencuba ubat itu ubat ini, kopi itu kopi ini semata-mata untuk menguatkan tenaga batin dan tahap libido anda. Malangnya, anda tidak pernah berusaha untuk mencari ubat agar anda lebih kuat bekerja dan juga kuat beribadah. Setakat kuat nafsu seks tapi tak kuat nak bangun subuh untuk bersolat atau keluar bekerja awal, tak payah!!!

21. Salah satu di antara tandas-tandas terkotor di dalam negara kita ini termasuklah tandas-tandas di surau-surau dan juga di masjid-masjid. Padahal yang datang menggunakannya tentulah orang-orang yang imannya agak tebal sedikit daripada yang langsung tidak bersolat di rumah-rumah Allah itu. Bukankah kebersihan itu salah satu cabang iman. Di manakah tahap keimanan anda yang menggunakan tandas-tandas tersebut?

22. Anda telah berjaya mengkhatam Al-Quran tidak terkira kekerapannya serta menghafal berpuluh-puluh buah surah di dalamnya. Ironinya, di mana ihfa'nya, di mana idghamnya, di mana ghunnahnya atau hukum-hukum tajwidnya yang lain? Anda main sebat, main langgar sahaja. Elok belajarlah betul-betul ilmu tajwid sebelum Al-Quran menempelak anda setiap kali anda membacanya.

23. Anda terpekik terlolong membantah kenaikan harga petrol dan diesel yang dibuat kerajaan tanpa amaran terlebih dahulu. Ironinya, selain dari kesan harga barang naik, cara pemanduan kenderaan anda pula langsung tidak mempraktikkan teknik-teknik yang menjimatkan petrol. Jika anda memang tidak tahu menahu langsung tentang teknik-teknik tersebut, anda sememangnya jenis orang yang tak sayang duit. Tak kisahlah kalau harga petrol naik 3, 4 lambung sekalipun.

24. Ramai orang yang amat cintakan ilmu agama dengan menghadiri majlis-majlis kerohanian dan kuliah-kuliah agama di merata tempat tanpa gagal. Ironinya, dalam ramai-ramai itu, ramai yang lebih mencintai ilmu hisap yang berasap-asap tu lebih dari segala-galanya. Masa dok mengaji tu, ustaz-ustaz tak cover ke topik tersebut? Mestilah ada, kan kan kan? Habih guano?

25. Anda membawa keluarga anda pergi bercuti di tempat-tempat peranginan yang indah dan mengasyikkan. Ironinya, walau bagaimana indah sekalipun tempat yang anda lawati, setiap ahli keluarga dan termasuklah anda sendiri akan lebih asyik melayan laman-laman sosial ataupun bermain game dengan gajet-gajet yang dibawa. Benda ini sudah menjadi fenomena di mana-mana sahaja sekarang ini. Kalau begitu gayanya, baiklah ramai-ramai pakat bercuti kat atas katil di rumah sendiri sahaja. Lagi selesa, boleh berguling-guling sambil syok sendiri. 

26. Akhir sekali, ibu dan bapa segala yang ironi di atas dunia ini jatuh pula kepada 'kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak'.  Satu lagi, 'kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan'. 'Deep' sungguh maksud kedua-dua peribahasa ini kan? Tajam juga pemerhatian nenek moyang kita dahulu kala.

Maaflah jika ada di antara perkara-perkara di atas yang menyentuh sensitiviti sesiapa ataupun ada perkara yang bukan dikategorikan 'ironik' sebab masa belajar Bahasa Malaysia kat sekolah dulu khusyuknya sampai mata tak berkelip-kelip (zzzz le tu!).

Mozar : Benda-benda yang ironik ni kadangkala dilihat sekali imbas memang tak perasan. Kena fikir sedikit baru faham.

Tidakkah ini ironik? Faham tak situasinya?

2 comments:

  1. Lepas puasa adalah raya,
    Fahamla jugak ye

    ReplyDelete
  2. Awesome...Saya suka semua penjelasan di atas. Memang ironik!👍🏻😁

    ReplyDelete

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...