Wednesday, March 30, 2011

Apa Yang Tidak Anda Ketahui Mungkin Akan Melukai Anda

Ungkapan dalam bahasa Inggeris ada menyebut "What you don't know may hurt you." Ada betulnya juga ungkapan ini. Sesuatu yang anda tidak tahu menahu mengenainya mungkin akan mengundang kesusahan atau kedukaan buat anda di kemudian hari. Kejahilan atau kealpaan ini boleh jadi disengajakan atau tidak disengajakan. Ada yang ambil endah tak endah untuk mengorek segala maklumat dan petunjuk sebelum memulakan sesuatu tindakan. Ada yang memang lembam dan lurus bendul tak tahu apa-apa serta mudah diperdaya dengan sedikit gula-gula dan pujuk rayu. Apa-apapun, seharusnya anda perlu berhati-hati terhadap apa benda yang tidak anda ketahui.

Seperti contohnya, anda mungkin terluka jika anda tidak tahu bahawa anda sedang diperalatkan oleh seseorang atau sindiket. Maka terjadilah kejadian 'keldai dadah' yang membawa dadah ke negara-negara tertentu kerana sang keldai tidak tahu menahu bahawa 'percutian' yang dijanjikan pada mereka hanyalah satu helah penipuan. Terjadilah kes-kes perhambaan seks pada perempuan yang diperdaya teman lelaki yang menjual 'kekasih'nya kepada bapa ayam kerana perempuan itu tidak tahu bahawa teman lelakinya berhati iblis dan berekor syaitan. Terjadilah kes-kes pembuangan anak setelah terlanjur, kekasih lari dan tidak mengaku bertanggungjawab kerana sang gadis yang tidak lagi gadis tidak tahu impian membina mahligai bahagia hanyalah palsu semata-mata.

Anda juga mungkin terluka jika anda tidak tahu samada anda telah membuat keputusan atau tindakan yang tepat dalam hidup. Terjadilah kes-kes penipuan pelaburan dalam skim cepat kaya, pertukaran matawang asing dan sistem piramid kerana anda jahil dalam urusan kewangan serta undang-undang. Atau juga kes bisnes lingkup dek kerana anda tidak tahu bahawa rakan kongsi anda seorang yang tidak amanah. Terjadilah juga kes wang yang disimpan bertahun-tahun dikebas seseorang yang sangat dipercayai tetapi anda sendiri tidak tahu dari mana asal-usulnya. Terjadilah juga jangkahayat perkahwinan yang sangat singkat kerana tiada keserasian setelah berkahwin kerana anda tidak tahu sikap-sikap sebenar pasangan anda sebelum anda hidup bersama. Paling tidak berlakulah juga kes anda disaman polis/JPJ di atas kejahilan anda dalam undang-undang jalanraya.

Maka, ketahuilah, selidikilah, pelajarilah, galilah, siasatilah (ada ke?) apa sahaja perkara yang anda tidak tahu. Lebih-lebih lagi perkara yang mencurigakan anda. Perkara perlu ambil tahu ini perlu sangat diamalkan juga dalam kita memilih makanan yang halal untuk dimakan. Janganlah asal ada kedai makanan bukan Islam yang ada logo Halal, kita pun sebat semacam. Selidiki dulu, Halal tu asli atau palsu, hidup lagi ke tidak. Kalau rajin lagi, siasat sendiri dari mana punca bekalannya, siapa yang memasaknya, bagaimana cara memasaknya serta banyak lagilah, malas nak cakap. Benda halal dan haram ni bukan benda main-main. Akan jadi darah daging bila dah masuk perut. Langkah yang selamat, elakkan makan di tempat yang anda was-was dan elakkan juga mendengar rekomen kawan-kawan bahawa sesuatu tempat makan itu sedap dan halal. Yang perlu tahu adalah anda sendiri. Sekiranya anda telah ketahui yang anda telahpun tertelan barang yang haram bukankah ianya akan melukai jiwa raga anda sendiri juga akhirnya (bagi orang yang beriman la!).

Mozar : Apa yang telah anda ketahui jangan pula 'purak-purak' tak tahu. Dah tahu dalam makanan tu ada ba alif ba ya, jangan le buat-buat telan bagai tak tahu mende.

Tahukah anda apa yang ada di sebalik semak samun ni? Mungkinkah ada sang lengkar, sang gajah, sang kelembai, pak belang ataupun si hidung belang, perogol bersiri atau 40 orang penyamun?

Thursday, March 24, 2011

Membalas Kejahatan Dengan Kebaikan

Anda pernah diherdik, dicaci, dimaki, dipersenda atau 'semua yang di atas'? Kalau tidak pernah maknanya anda setaraf dengan malaikat baiknya. Atau mungkin anda seorang 'slenga', orang marah ke, orang carut ke apa ke anda sendiri pun tak dapat nak beza. Realitinya, bagi manusia seperti kita ini yang serba serbi tidak sempurna atau 'maksum' seperti Nabi s.a.w, barang tentu kemarahan balas akan meluap-luap laksana gunung berapi bila diperlakukan sedemikian rupa.

Siapakah yang sanggup maruahnya diinjak-injak, dicalar-calar atau dirobek-robek. Satu dalam sebilion kot. Peritnya jiwa dan raga apakala ingin menahan segala kejahatan manusia terhadap kita. Kejahatan manusia datang dalam berbagai-bagai bentuk. Ada kejahatan secara halus seperti bermuka-muka dan tikam belakang. Di depan kita pijak semut pun semut tu tak sedar. Lembut gigi dari lidah. Di belakang kita, habis segala keburukan kita dijaja serta ditokok tambah pula dengan fitnah dan momokan. Kejahatan terbesar pula adalah berupa musuh-musuh laknat yang sentiasa ingin memerangi Islam dan umat-umatnya. Kejahatan yang sebegini langsung tidak boleh dibayar dengan kebaikan. Kejahatan ini wajib ditentang bermati-matian. Yang gugur menentang kejahatan ini akan dikira syahid.

Di zaman Rasulullah s.a.w pernah diriwayatkan ada seorang wanita yang sangat bencikan baginda. Apabila ternampak sahaja Rasulullah s.a.w, wanita itu akan mengambil penyapu lalu menyapu ke arah baginda. Namun, Rasulullah s.a.w sentiasa memberi salam kepadanya, sekalipun salamnya itu tidak pernah dibalas oleh wanita tersebut.

Maka pada suatu hari tatkala Rasulullah s.a.w berjalan di hadapan rumah wanita tadi seperti lazimnya, wanita itu tidak kelihatan. Baginda segera bertanya kepada jiran-jiran wanita itu. Jiran-jiran itu merasa hairan atas sikap Rasulullah s.a.w kerana mereka tahu bagaimana layanan wanita tersebut terhadap Rasulullah s.a.w. Bagaimanapun, mereka memberitahu baginda bahawa wanita tersebut sedang terlantar sakit seorang diri di rumahnya.
Dengan segera Rasulullah s.a.w memasuki rumah wanita tersebut lalu baginda menolong mengemas rumahnya, memasak serta menimba air perigi untuk wanita tersebut. Wanita tadi berasa sungguh hairan sekali bila mendapati ada yang sudi membantunya apalagi di kala dia sedang sakit dan tidak berdaya untuk bergerak.

Apabila dia mendapat tahu bahawa orang tersebut adalah baginda Rasulullah s.a.w, maka hatinya yang keras terus berubah menjadi lembut. Dia berasa kesal atas kekasaran budinya terhadap Rasulullah s.a.w. Semenjak itu, wanita itu pun menjadi seorang muslimat yang sopan dan baik akhlaknya, serta taat mengerjakan perintah-perintah agamaNya (kisah dipetik dari fadhlinamathanip.blogspot.com).


Begitulah mulianya akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam menentang kejahatan. Mampukah kita menangani kejahatan manusia cara Rasulullah? Dalam hidup ini, kita sentiasa dikelilingi oleh kejahatan. Kejahatan lazimnya datang dalam bentuk kekasaran fizikal dan juga penderaan emosi. Adakalanya orang-orang tidak senang melihat kita senang, berjaya, berharta atau berpengaruh. Adakalanya kejahatan itu dalam bentuk penganiayaan atau penindasan supaya kita tidak mampu hidup senang dan di masa yang sama mendahulukan kepentingan diri sendiri pelaku tersebut.

Kesimpulannya, sedapat mungkin balaslah segala kejahatan yang dilemparkan kepada kita dengan kebaikan, bukan dengan kejahatan juga. Jika kejahatan dibalas dengan kejahatan samalah seperti kita menyimbah petrol kepada api yang sedang marak. Kedua-dua pihak akan mendapat rugi akhirnya. Jika satu pihak beralah, kebaikannya bukan nampak sekelip mata tetapi lambat laun akan tersirna jua. Beralah bukan bererti kalah. Ambil contoh kisah Nabi s.a.w tadi. Di masa yang lain kejahatan itu akan tewas dan lenyap juga akhirnya. Dalam perkara menangani kejahatan ini, kesabaran adalah anak kunci utama. Hayatilah ayat-ayat suci Al-Quran yang berkaitan dengan topik ini di bawah ini sebagai pedoman dan pengubat jiwa. 

“Sesungguhnya rahmat Allah swt amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (QS. Al-A’raf: 56)
“Balaslah perbuatan buruk mereka dengan yg lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan.” (Q.S. Al-Mu’minun [23]: 96).
 “Mereka itu diberi pahala dua kali lipat disebabkan kesabaran mereka dan mereka menolak kejahatan dengan kebaikan dan sebahagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka, mereka nafkahkan.”(QS. Al-Qashash [28]:54)

Mozar : Di atas dunia ini, kejahatan dibalas kejahatan, ba..nyak-banyak. Kebaikan dibalas kebaikan, ka..dang-kadang. Kejahatan dibalas kebaikan, ja..rang-jarang. 

Untuk hiburan sahaja :  Jahat yang ni jahat mengada-ngada. Jahat begini perlu dibalas dengan ajak kawin aje.

Wednesday, March 16, 2011

Sayang Itu Amat Perlu

Pernahkah anda menyayangi dan disayangi? Tidak dapat tidak, dalam hidup anda perlukan kedua-duanya ini. Sayang yang paling tinggi kedudukannya ialah sayang kepada Allah, Rasul s.a.w serta agama (Islam). Sayang yang utama ialah sayangi diri. Kemudian, sayangkan saudara-saudara anda dan juga saudara-saudara seIslam anda. Sayang menyayang kepada yang selainnya dari ini bergantunglah kepada anda sendiri asalkan ianya berpada-pada. Besar sebenarnya skop dan pengertian sayang ini. Sayang adalah sejagat sifatnya (universal). Semua manusia di dunia ini berupaya merasakan atau melahirkan perasaan sayang.

Sayang terletak di tengah-tengah antara suka, hormat, kasih dan cinta. Suka tidak bererti sayang. Suka boleh padam bila yang disukai tiada di depan mata. Hormat juga tidak bererti sayang. Hormat juga hanyalah satu ekspresi apakala ketemu atau berhadapan. Ia tidak akan terbawa-bawa ke mana-mana. Kasih dan cinta pula adalah tahap yang lebih tinggi sedikit dari sayang. Perasaan sebegini hanya wujud dalam kes-kes yang agak terpencil. Hanya orang-orang yang bercinta yang bermain dengan rasa kasih dan cinta ini.

Berbalik kepada subjek sayang, kita semua amat memerlukannya. Bila diri disayangi, hidup akan lebih bermakna dan membahagiakan. Kurang kasih sayang pula akan mengundang masalah jiwa dan sosial dalam diri mangsa-mangsanya. Anak-anak perlukan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dari ibubapa mereka. Begitu juga ibubapa yang memerlukannya dari anak-anak mereka. Hidup bermasyarakat juga perlu ada sayang menyayangi. Jiran tetangga perlu ada sayang dan menyayangi. Jiran-jiran adalah pengganti adik beradik atau saudara mara yang terdekat. Tanpa berbaik dengan jiran tetangga, hidup akan menjadi seperti 'kera sumbang' serta tersisih dari masyarakat. Bila berlaku musibah, siapakah pembantu terdekat dan terpantas selain dari jiran-jiran sendiri? Siapakah yang akan diharapkan bila berlaku kecurian atau kematian kalau bukan jiran tetangga? Oleh yang demikian, sayangilah jiran-jiran sebagaimana menyayangi adik beradik anda sendiri.

Dalam berkawan, sifat sayang menyayangi juga amatlah perlu. Bila diri disayangi kawan-kawan, sakit pening kita akan ada yang menziarah dan menghulurkan tangan meringankan beban. Bila kita tersasar dari landasan hidup, kawan-kawanlah yang akan mendoakan kesejahteraan kita. Tidak keterlaluan bila kawan-kawan yang saling menyayangi akan mendoakan syurga serta dijauhkan bala untuk kawan-kawannya yang lain. Semakin ramai yang mendoakan kebaikan buat kita semakin berkat dan berjayalah hidup kita. Di sinilah pentingnya diri disayangi kawan-kawan.

Perasaan sayang tidak akan datang dengan sendiri tanpa perlu diusahakan. Melimpahkan wang ringgit dan kemewahan tidak mungkin menerbitkan sayang yang ikhlas. Wang ringgit melayang, sayang 'ada makna' pun turut melayang. Sayang juga tidak terbit dari rupa paras nan menawan. Itu sayang yang 'ada makna' juga. Boleh jadi bersulam nafsu nan serakah. Sayang sejati juga tidak lahir dari kepetahan berbicara, berpidato atau keupayaan menangkis hujah-hujah lawan. Dari situ hanya akan lahir pengkagum-pengkagum yang bersifat seperti lalang. Sekali lagi, kalaupun ada yang sayang, sayangnya juga 'ada makna'. Walaubagaimanapun, kesayangan ibubapa terhadap anak-anak adalah sayang yang lahir semulajadi dari naluri yang luhur, walaupun terkadang hanya bersifat sehala.

Bagaimanakah untuk mendapat kesayangan orang? Banyak cara sebenarnya. Orang akan sayang bila anda bersopan santun dan berhemah tinggi. Orang akan sayang bila anda bersifat jujur dan amanah dalam segala perkara. Orang akan sayang bila anda pemurah dan tidak berkira dalam segala hal. Orang akan sayang si ringan tulang dan penghulur jiwa raga dan tenaga di saat-saat diperlukan. Orang akan sayang seorang pendengar yang baik dan sentiasa prihatin terhadap segala masalah yang dikemukakan kepadanya. Orang akan sayang bila anda bukan pencarut, pemarah atau pendengus. Orang akan sayang bila anda tidak bercakap besar, berbangga diri dan 'poyo' (terasa diri terlalu bagus). Orang akan sayang bila anda bukan penjanji palsu atau penjanji yang lewat.

Pendekata, jika anda ingin disayangi, cermin ke dalam diri, letakkan diri anda di kaki orang lain. Apa yang anda tidak suka orang lain perbuat terhadap anda, itulah yang anda perlu elakkan. Sebaliknya, apa yang anda suka orang lain perbuat terhadap anda, itulah yang harus anda lakukan terhadap orang lain.

Mozar : Bila diri disayangi, kehadiran akan disenangi, kejauhan akan dirindui, kehilangan akan dicari, kejayaan akan dirai (bukan diiri).

Monday, March 14, 2011

Bila Tsunami Melanda

Terlebih dahulu, jutaan takziah buat warga utara Jepun yang dilanda gempa bumi serta Tsunami tanggal 11 Mac lalu. Dalam peristiwa tersebut, yang lebih mencuri perhatian ialah kejadian Tsunami berbanding gempa kerana ianya julung-julung kali berlaku. Air, bila kecil menjadi kawan dan keperluan hidup. Bila besar ia pula menjadi lawan. Dahulu kala hanya 'api' yang dikaitkan dengan pepatah sedemikian kerana masa itu hampir-hampir tiada kedengaran kejadian Tsunami ini. Dahulu, kita di Malaysia agak terpinga-pinga bila mendengar perkataan Tsunami ini. Sejak Tsunami membadai Lautan Hindi, Banda Acheh serta beberapa negara lagi termasuk Malaysia sendiri pada 26 Disember 2004, barulah kita mula kenal apa itu Tsunami. Dari bayi yang baru pandai berkata-kata sehinggalah ke manusia tertua di dunia semuanya sudah mula pandai menyebut 'Tsunami'. Asal ada sahaja benda yang bersifat melanda dikaitkan dengan Tsunami, termasuklah 'Harga Tsunami', 'Tsunami Politik' dan 'Tsunami Kasih', sekadar beberapa contoh.

Tsunami bererti tragedi. Kita di bumi bertuah ini beruntung kerana tidak diuji oleh Allah s.w.t dengan ujian seberat itu. Mungkin kerana ujian sebegitu tidak mampu ditanggung oleh umat-umat di negara ini, sesuai seperti ayat di bawah ini :-
 “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Surah Al-Baqarah : 286)
Namun demikian, janganlah pula kita leka dan alpa dengan keenakan hidup kita hari ini. Janganlah sampai kasih Allah kepada kita sehingga perlu 'ditangan-tangankan' dengan musibah yang hebat-hebat. Persis mendidik anak, permulaannya kita akan menegur kesilapan anak-anak dengan lemah lembut dan kasih sayang. Bila tahap kesabaran telah memuncak, kita akan mula menengking. Bila keadaan tidak terkawal lagi terpaksalah ditangan-tangankan anak itu kerana bidalan ada menyebut bahawa 'sayangkan anak, tangan-tangankan'. Jangan tunggu sehingga 'tangan Allah s.w.t' (Hand of God?) hinggap kepada kita baru kita hendak berhenti dari bergelumang dengan dosa atau mengundang kemurkaan Allah. Bila malapetaka melanda, ia tidak akan mengecualikan sesiapa, tidak kira yang baik atau yang jahat, yang beriman atau yang tidak beriman.

Satu sudut pandang yang boleh digarap di sini ialah manusia amatlah kerdil di sisi Allah s.w.t. Kejadian Tsunami ini tidak kurangnya seperti kita menyimbah sarang semut dengan sebekas air. Habis bercempera semut-semut, telur-telurnya dan sarang-sarangnya sekali. Seperti Tsunami, ia tidak mengenal siapa dan apa jua darjat manusia. Setiap benda yang menghalang laluannya akan dirempuh dengan begitu ganas sekali. Pengajaran yang boleh diambil di sini, walaupun kita berada di sebuah negara termaju di dunia, dengan kehidupan serta teknologi serba canggih, kita masih lagi tidak selamat dari terkena malapetaka yang berskala mega. Siapakah kita hendak memperdaya kekuasaan Allah? Siapakah kita di atas mukabumi Allah ini? Adakah laksana seekor semut atau sebutir pasir di lautan?

Mozar : Dalam bertakziah kepada rakyat Jepun, sekalung tahniah pula kepada Datuk Lee Chong Wei kerana menjuarai All England semalam. Hukum Alam-sekali hebat tidak selama-lamanya hebat. Sesekali Lin Dan tersungkur jua.
Krisis kemusnahan dan kemanusiaan berskala mega. Semoga Allah melindungi kita dari kejadian yang serupa. Sesungguhnya hamba-hambamu ini begitu lemah Ya Allah! 

Thursday, March 10, 2011

Bila Sana-Sini Ada Bos

Sini ada bos, sana ada bos. Siapa yang nak jadi kulinya? Bos yang ini cekak pinggang. Bos yang itu mengarah. Bos yang sinin menempelak. Bos yang sinun hanyut dengan hal-hal peribadi tak sudah-sudah. Bos yang itu pula tak muncul-muncul lagi walaupun hari dah tinggi. Si kuli terkulat-kulat, menahan lelah dan marah. Si kuli juga yang naik darah. Nak marah, apakan daya. Hanya melukut di tepi gantang. Cabut kalu, seribu mari. Berbondong-bondong datang merentasi Selat Melaka dan lautan Hindi. Murah-murah pulak tu.

Ada kuli makan kuli. Ada kuli aniaya kuli. Sekufu tapi tak bersekutu. Berlagak macam bos pula. Yang lemah dan yang 'bendul' dipijak-pijak. Kalau pijak-pijak orang dia boleh naik ke atas tak apalah juga. Ringan sama dijinjingnya, berat lantak engkaulah! Dalam dunia kuli juga ada bos. Ada sub-sub kuli juga rupanya. Mana mau lari?? Bos-bos di merata tempat dan profesion!

Ada bos yang tak boleh disentuh. Tugasnya duduk sesofa sekusyen dengan bosnya yang lebih tinggi. Kamceng maut! Kipas dan air cond jadi permainan. Biar bosnya sejuk dan nyaman. Untouchable? Bukanlah! Itu kasta paling rendah di India. Mana mari bos-bos sebegini? Kroni-kroni la, biasa la. Orang bawahan tiada suara kecuali di kedai-kedai kopi dan di surau-surau (boleh ke?). Sosek-sosek le korang, tak jadi kudis pun buat si kaki kipas tu.

Ada juga bos yang dari suku sakat bos besar. Bos-bos ini adalah dari golongan 'invincible'. Buatlah apa-apapun selagi tempat kerja tak terbalik, tak terlingkup.
"Korang kuli-kuli semua buat apa? Makan gaji buta ke? Aku bayar korang untuk buat kerja! Tak suka, pintu terbuka luas untuk korang! Jangan nak sibuk hal aku! Aku macam manapun korang sibuk pasal apa? Tempat ni aku punya!" bentak si bos kebal. 
Wahh! terkedu dan menikus balik kuli-kuli yang tak puas hati tadi. Makcik tukang sapu dan makcik kantin terpempan dan gumam.
"Kak Joyah, kita sambung gossip balik karang le ekk?" (bisik kecil makcik tukang sapu). Dalam hati makcik tukang sapu siapalah yang tahu, rasa macam nak meletup je.
"Ah! aku lak yang menyibuk sangat, padahal aku tukang sapu je. Tapi..jangan main-main, tukang sapu tak sapu. Akulah pemerhati PBB yang paling banyak tengok dan peka dengan gerak-geri bos-bos tadi." (sempat lagi meredakan keterkeduan tadi tu!).

Masing-masing mahu ke atas. masing-masing mahu tunjuk lebih hebat, lebih berkuasa. Si enau dalam belukar, lagaknya. Kerja yang diarah dan diperintah mesti siap pada waktunya, mesti sempurna. Kalau tak, bos juga yang letih nak menjawab. Kuli juga yang kena bambu akhirnya. Tapi jangan lupa, sistem sesuatu organisasi umpama sebuah piramid. Yang di bawah lebih lebar, manakala yang di atas tajam dan runcing. Seteguh manapun piramid itu, pasti akan roboh juga dek penangan yang menyokong beban di bawah. Buruk padahnya bila yang di bawah tak tertanggung lagi beban yang dihempap pada mereka. Kalau banyak sangat bos, piramid pun tidak seimbang lagi. Sudahnya akan roboh juga akhirnya.

Mozar : Bilamana semua manusia berkasih sayang dan berkasihan belas, bos-bos adalah golongan manusia yang senantiasa risau dan juga tidak pernah lena tidur. Panas punggung turun padang untuk bekerja bersama-sama dengan 'anak-anak buahnya' (bukan 'kuli-kulinya'). 

Sunday, March 6, 2011

Berkualitikah Hidup Kita?

Sudah beberapa ketika saya tidak mencetuskan sebarang entri di sini dek kerana kesibukan membuat 'last minute touch up' kepada Audit Persijilan ISO 9001:2008 untuk Sistem Pengurusan Kualiti di tempat kerja. Tiada mood hendak menulis jika fikiran asyik terikat kepada Audit tersebut. Alhamdulillah, segala-galanya telah selesai dan telahpun lulus dengan cemerlang. Tiada sebarang ketidakakuran(nonconformity) dijumpai. Jumpa lagi di tahun hadapan, wahai Audit!

Berkisah tentang kualiti ini, sejauh manakah berkualitinya hidup kita? Menurut maknanya dalam bahasa Inggeris, kualiti adalah sesuatu yang 'fit for intended purpose'. Jadinya, sesuatu produk atau perkhidmatan itu tidak semestinya mahal untuk jadi berkualiti. Mungkinlah kemahalan itulah hasil daripada tindakan untuk memenuhi segala aspek kepuasan pelanggan. Segala remeh temeh dan 'mak nenek' diitikberatkan agar pelanggan puas hati. 

Contohnya, telefon bimbit yang berkualiti harus memenuhi kehendak atau keperluan golongan yang disasarkan. Bagi golongan remaja, apalagi yang perlu diutamakan selain dari sumber untuk berhibur dan bersosial. Telefon yang memenuhi kehendak atau hawa nafsu mereka itulah yang mereka anggap berkualiti. Bagi golongan tua atau yang sudah berpencen, telefon berkualiti bagi mereka ialah yang mempunyai digit-digit yang besar serta mudah untuk diaplikasikan. Tidak perlu terlalu canggih hingga memeningkan kepala menggunakannya. Manakala bagi golongan yang berperwatakan kasar dan tidak sayang barang pula, telefon yang jatuh beberapa kali tanpa rosak atau pecah menjadi pilihan sebagai yang berkualiti bagi dirinya.

Berbalik kepada soal kehidupan, agak sukar atau mustahil sebenarnya bagi sebarang individu di dunia ini untuk menikmati kehidupan yang 100% berkualiti, yakni segala-galanya bagai dikata dan bagai dihajat. Orang terkaya di dunia sekalipun tidak semestinya mempunyai tahap kualiti hidup yang sempurna segala-galanya. Pasti terdapat lompang di sana sini. 

Contohnya, walaupun si kaya itu hidup di istana bagaikan di kayangan dengan segala-gala keperluan dan kemewahan hidup diadakan baginya, pastikah udara yang disedut di persekitaran hidupnya bersih dan suci dari pencemaran? Kalau dia hidup di kawasan paling bersih di dunia sekalipun, tidak mungkin dia boleh tinggal di situ tanpa ingin menjelajah ke tempat-tempat lain di dunia yang pastinya mempunyai kualiti udara yang lebih rendah. Sekiranya dia memilih untuk tidak ke mana-mana pun ke dunia lain kerana takutkan kualiti udara yang rendah, satu 'markah' kualiti hidupnya sudah boleh ditolak dari situ. Jadi, si kaya tidak akan pernah menikmati kualiti hidup yang tip top dalam serba serbi.

Bagi kita yang berada di golongan bawahan dan pertengahan, pastinya banyak kekurangan hidup yang menjadi sungutan dan bebelan tanpa kesudahan. Sebenarnya, tidak semua yang miskin mempunyai kualiti hidup di tahap terendah. Jika bijak mengemudi hidup, segala makan dan pakai menjadi berkualiti, dengan syarat segala-galanya disertai dengan penuh rasa redha dan syukur. Tiada satupun nikmat hidup yang lain yang mampu mengatasi perasaan redha dan syukur ini. 

Seorang miskin yang hanya menikmati sebutir telur goreng untuk santapan harian, akan merasai betapa berkualitinya makanan yang dijamahnya andai diiringi dengan rasa syukur yang amat sangat. Ada insan-insan lain di dunia sebelah sana yang langsung tidak berpeluang menikmati makanan setiap hari atau mungkin juga mati kerana kebuluran. Di sinilah erti kualiti hidup bagi seorang yang miskin. Makanan yang dimakannya cukup untuk masih menggerakkan tulang empat keratnya untuk dia meneruskan kehidupan. Seorang yang kaya berharta sekalipun belum tentu dapat menjamah segala-gala hidangan yang istimewa tersembah di depan mata. Penyakit mungkin menghinggapi di sana-sini.

Kesimpulannya, kehidupan kita bukanlah 100% boleh kita rencanakan seperti kita merencanakan Sistem Pengurusan Berkualiti seperti di dalam persijilan ISO. Hidup kita juga telah direncanakan oleh Allah s.w.t. Seandainya kehidupan seseorang itu hendak diaudit untuk mencari di mana keakuran dan ketidakakurannya, maka tidak ada seorang pun di dunia ini yang akan berjaya mendapat pengiktirafan persijilan sepertimana persijilan ISO itu. Kepincangan pasti ada di sana-sini. Lebih-lebih lagi ketidakakuran atau ketidakpatuhan kita kepada hukum-hukum Allah s.w.t.

Mozar : Andai diri serba kekurangan serta nasib tidak menyebelahi diri, pasrahlah dan berusahalah agar kehidupan sebenar sesudah mati nanti akan menjadi yang Maha Berkualiti. Di sana nantilah kita akan abadi selama-lamanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...