Monday, July 25, 2011

Apa Ada Pada Nama?

Sebelum apa-apa, mari kita baca kisah menarik seperti di bawah ini sebagai pemanas otak.

Kisah Taufik & Dian

Ajoi mendapat kerja sebagai guru sandaran di sebuah sekolah di Kulai.
Selepas memperkenalkan diri, dia menyemak nama murid-murid darjah 3 Raya dan merasa agak pelik semasa membaca nama seorang murid, iaitu 'W.TAUFIK WWW'.
Kemudian guru tersebut menanyakan perkara tersebut.

Cikgu Ajoi : “Cikgu nak tahu, siapa yang bernama W.TAUFIK WWW ?”

Taufik : “Saya Cikgu…” (Taufik menjawab & berdiri).

Cikgu Ajoi : “Taufik, saya ingin tahu nama panjang kamu apa?”

Taufik : “Maaf Cikgu Ajoi, panjang sangat...”

Cikgu Ajoi : “Takpe-takpe Taufik, cakap jer..”

Taufik : “Baik Cikgu, nama penuh saya ialah…Wabillahi TAUFIK-wal hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…”

Cikgu Ajoi menarik nafas panjang dan terdiam.

Setelah dari darjah 3 Raya, Cikgu Ajoi kemudian masuk ke darjah 1 Mawar dan menyemak nama murid-murid.

Mata Cikgu Ajoi tertuju pada 1 nama yang unik iaitu 'BKBKBDB DIAN'.

Kemudian Cikgu Ajoi menanyakan siapa muridnya yang mempunyai nama tersebut.

Berdirilah seorang murid dan menjawab “saya DIAN Cikgu…”

Semasa Cikgu Ajoi melihat wajah murid itu seiras muka Taufik darjah 3 Raya.

Cikgu Ajoi : “Dian ada abang di sekolah ini?”

Dian : “Ya Cikgu,nama dia TAUFIK. Abang saya darjah 3.”

Cikgu Ajoi : “Saya ingin tahu nama panjang Dian apa pulak?”

Dian : “Baik Cikgu, nama panjang saya ialah…

Berakit-rakit Ke Hulu Berenang-Renang Ke tepian, Bersakit-sakit Dahulu Bersenang-Senang kemuDIAN”

Cikgu Ajoi :@$%&#^%


(Dipetik dari blog Isu Hangat)

Keh keh keh, kelakar tak? Dah panas otak dah? Kalau adalah orang yang bernama sepanjang itu pasti hampir-hampir pecahkan rekod dunia. Ada makna tersendiri pulak tu. OKlah bercakap pasal nama ni, macam-macam perkara perihal nama boleh digarap dan diteroka seperti yang akan dipaparkan di bawah ini. Kalau ada yang nak tokok tambah silakan...

1) Nama tempat yang terpanjang di dunia dipegang rekodnya oleh Thailand yang berbunyi Krung­thep­maha­nakorn­amorn­ratana­kosin­mahintar­ayutthay­amaha­dilok­phop­noppa­ratrajathani­burirom­udom­rajaniwes­mahasat­harn­amorn­phimarn­avatarn­sathit­sakkattiya­visanukamprasit (163 huruf). Tak ada kerja nak menghafal nama tempat sepanjang tu. Alih-alih orang Thai sendiri panggil 'Krung Thep' aje, takpun 'avatar' (carilah sendiri, macam kes 'Taufik' tadi).

2) Nama orang yang terpanjang di dunia pula ialah Adolph Blaine Charles David Earl Frederick Jack Gerald Hubert Irvin John Kenneth Lloyd Martin Nero Oliver Paul Quincy Randolph Sherman Thomas Uncas Victor William Xerxes Yancy Zeus Wolfeschlegelsteinhausenbergerdorft Senior. Letih la kalau macam ni. Entah berapa keping IC yang dia kena pegang. Kes naya betul kalau nak isi apa-apa borang. Dia sendiri pun mungkin tak ingat nama penuh dia. Dah tu pulak rekodnya senang-senang aje boleh dipecahkan oleh orang lain, mana tau kot ada pulak yang bagi nama sampai sebuku panjangnya.

3) Nama-nama orang Ori di mana-mana di dunia pula banyak diambil dari unsur-unsur alam atau apa yang melintas atau terlintas semasa seseorang bayi mereka itu dilahirkan. 

4) Seorang pensyarah wanita tempat saya belajar marah bila seorang pelajarnya tidak meletakkan 'Dr' di pangkal namanya, sebaliknya meletakkan 'Mrs' pada kertas jawapan uijan.

5) Nama boleh dicipta, ditempa, didapati, diangkat, diukir, dikekalkan, digugurkan, diburuk-burukkan, dicalar, dirobek dan bermacam-macam 'di' lagi. Bagi nama-nama yang telah tercalar atau mendapat reputasi buruk, cepat-cepatlah bersihkan nama itu agar orang tidak hilang keyakinan ke atas anda. 

6) Allah mempunyai 99 nama yang indah-indah yang mana jika ingin menggunakan nama-nama tersebut untuk anak-anak, perlu ditambah 'Abdul' di hadapannya yang bermaksud 'hamba'.

7) Saya ada kawan sekolah yang bernama Zah bt. Din. Sempoi habis kan? Ada orang yang saya kenali pula mempunyai nama bapanya 'Ri'. Tak payah nak pening-pening kepala fikir nama-nama yang canggih-canggih atau pelik-pelik.

8) Nama bebudak lelaki sekarang dah tak pakai lagi nama-nama klasik (kebanyakannya nama-nama Nabi) seperti Harun (sekarang dah Aaron!!!), Ismail a.k.a Mail, Mustapha a.k.a Tapa, Mokhtar, Sulaiman a.k.a Leman. Yang banyaknya Daniel, Haykal, Aaron, Danish, dan sebagainya. Nama orang dulu-dulu tak berapa sesuai masa bayi tetapi sangat cocok bila dewasa atau bila berusia emas. Nama orang-orang sekarang ni cocok ke bila dah ganyut dan bongkok tiga nanti? Generasi yang ni belum sampai ke tahap tua dukut tu lagi. Tunggu dan lihat aje nanti.

9) Nama bebudak perempuan pula dah tak pakai lagi nama-nama seperti Aminah, Azizah, Fatimah, Rogayah, Kamariah, Ramlah dan sebagainya. Sebaliknya nama-nama angkatan baru adalah seperti Natasha, Amelia, Fasha, Diana dan banyak lagi yang kadangkala 'gayat' mendengarnya. Tapi yang bagi pakai nama-nama yang baik-baik pun kalau asyik panggil dengan nama singkatan aje tak guna juga. Contohnya, Aishah dipanggil Esah, Fatimah dipanggil Timah, Khadijah dipanggil Jah aje. Langsung tak ada apa-apa makna pun. Ada sesiapa nak namakan anak 'Naftalena'? Sedap dan ayu bunyinya. Bila anak tu dah belajar sains esok, rapat le kena kutuk dek kawan-kawan sebab namanya ditakuti oleh lipas-lipas.

10) Orang-orang akan marah benar bila dipanggil oi oi aje, "Aku ada nama la wei!" ujar mereka. Biasanya orang yang tak dikenali akan dipanggil Yop, Bro, Abang, Akak, Sis, Adik ataupun bahasa yang rasmi sikit polan b. sipolan. Tapi suatu hari nanti kalau ada mamat yang pakai nama 'Polan', nama tu bukan lagi anonymous la nampaknya. Ada juga orang yang gunakan 'si' atau 'anu' dalam kes ini. Kalau orang putih mereka akan panggil John Doe (lelaki) dan Jane Doe (perempuan), kalau orang yang tak tahu akan ingat nama-nama tu nama-nama sebenar.

11) Nama-nama yang tak pernah orang guna sampai hari Kiamat pun ialah 'Firaun', 'Qarun' atau 'Haman'. Allah hinakan mereka ini sebegitu sekali kerana dosa-dosa mereka.

12) Ada pasangan Israel yang meletakkan nama anaknya 'Like' dek terlalu obseskan status 'Like' dalam Facebook. Ada sesiapa yang teringin nak 'Like' Like?

13) Ruangan-ruangan pojok atau tempat mengadu hal ala-ala Sri Siantan dalam akhbar dan majalah selalu menggunakan 'bukan nama sebenar' untuk melindungi identiti diri.

14) Manusia selalu memberikan nama pada haiwan peliharaan mereka untuk tujuan kasih sayang ataupun senang untuk memanggilnya. Entah-entah haiwan pun ada nama panggilannya sendiri terhadap manusia. Nama haiwan yang seringkali disebut-sebut ialah 'babi'. Asyik terbelahak babi-babi seluruh dunia. Khinzir yang bermaksud sama, tak mahu pulak disebut-sebut.

Mozar (bukan nama sebenar) : Nama-nama bulan Islam yang paling semua orang tahu dan ingat ialah Ramadhan dan Syawal. Bulan-bulan lain agak ternganga jugalah nak ingat. Sempena Ramadhan Al Mubarak yang bakal menjelang tidak sampai seminggu lagi, saya ingin memohon ampun dan maaf di atas segala penulisan saya yang ada mengguris rasa sesiapa sahaja. Selamat Menjalani Ibadah Puasa. Semoga ibadat di tahun ini jauh lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya.


Sekadar suka-suka : Mokcik ni namo Pasha (Fasha), buke Pasha Ungu. Dulu mokcik glemo kemain. Lo ni dok larak doh. Mokcik nak tuka namo ko Sarepah, mace Tok Poh nu. Dok molek la ore pangge Pasha Pasha doh tuo-tuo gini. Cucu mokcik umo setahun pung namo Rameloh (Ramlah).



Wednesday, July 13, 2011

Syurga Itu Letaknya Di Hati

Pernahkah anda mengecapi bahagia walaupun sekali dalam hidup anda? Mustahil ada orang yang tidak pernah langsung merasa bahagia. Bahagia itu sebenarnya hanya datang dari hati dan perasaan kita. Apabila seseorang itu terasa tersangat bahagia, akan terbit di hati atau di mulutnya ungkapan "I'm in heaven!" ataupun "Aku berada di syurga!". Seorang yang kemaruk cinta contohnya, walau seteruk manapun tempat dia sedang berada, dia tetap akan berasa bahagia jika dapat bersama-sama dengan orang yang tersayang dan yang tercinta. Walau berada di tempat yang kotor, busuk, bising, sempit atau panas, dalam hatinya tetap berbunga-bunga bahagia kerana di dalam hatinya sudah ada syurga. 

Akan tetapi, perlu diingat, cinta yang berbau syurga adalah cinta yang Islami, yakni menurut syarak. Jika cinta yang berpaksikan hawa nafsu serakah alamatnya dekat panggang dengan apilah jawabnya. Tu ada yang sanggup buat 'projek' di merata ceruk, rumah usang atau hutan belukar, semata-mata nak melampiaskan nafsu. Masa tu, dunia di sekelilingnya dah tak nampak dah. 

Bagi pasangan suami isteri yang bahagia, syurga bagi mereka adalah semasa dapat bersama-sama melayari hidup sebagai satu keluarga dengan penuh damai dan harmoni. Tidak perlu kereta mewah, rumah besar, wang berjuta atau harta berkepuk untuk membahagiakan mereka kerana syurga bagi mereka bukannya di luar jasad tetapi letaknya di kalbu masing-masing. Kaya raya tidak semestinya bahagia. Itulah sebabnya kadang-kadang ada si bilionaire yang mati membunuh diri atau ketagihan dadah, si hartawan yang murung, si kaya yang berpoya-poya hingga rebah dan banyak lagi contoh-contoh bahawa harta kekayaan tidak semestinya membawa bahagia. Sebaliknya orang yang hidup sederhana berbasikal tua sekalipun mampu mengecapi bahagia. Pokok pangkalnya, untuk berasa bahagia, dalam hati perlu ada iman dan rasa bersyukur di atas apa sahaja nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.

Seorang yang tidak pernah berasa bahagia ialah orang yang cetek imannya, rendah ilmu dan akhlaknya dan tidak pernah cukup dan syukur dengan apa yang ada padanya. Diberi betis hendakkan peha, diberi peha hendakkan dada, diberi 'dada'(dadah jika dibaca macam Samy Vellu) dia hanyut. Walaupun elok sihat, debab, gemuk, cukup makan, cukup pakai, masih lagi tak puas hati dengan hidup dan juga dengan apa yang sedang dikecapinya. Kalau segala usaha dan ikhtiarnya untuk mendapat lebih dan lebih lagi hanya untuk berbakti dan membantu yang kurang bernasib baik serta yang lebih memerlukan, memang le itu sifat yang sehabis mulia. Kalau sibuk nak naik ke atas, memenuhkan perut dan kantung sendiri semata-mata, rosaklah maksud dia diturunkan ke dunia ini. Mana janji-janjinya dengan Allah semasa menyanggupi untuk dihantar dan dihidupkan di atas dunia ini?

Sememangnya jika hendak dibandingkan kenikmatan dan 'kedahsyatan' syurga dengan apa yang ada di dunia ini memanglah saujana panggang dari api. Dunia ini hanyalah umpama bayang-bayangan syurga semata-mata. Segala yang baik, cantik dan sedap di dunia ini adalah bayangan syurga. Contohnya, hidup yang berkasih sayang, akhlak terpuji, orang-orang yang cantik menawan (walaupun tidak sehebat bidadari), makanan yang lazat dan keindahan alam ciptaan Allah adalah beberapa bayangan syurga yang boleh kita lihat. Kekayaan dan kemewahan hidup di dunia ini tidak terbanding langsung dengan kenikmatan berada di syurga. Cubalah lihat kemewahan di dunia ini sebagai hanya sekelumit bayangan kesenangan di syurga, bukannya untuk dikejar bagai nak rak kerana memang kita tidak akan pernah berasa cukup kerana nafsu kita tidak akan dapat dipuaskan di atas dunia ini. Hanya di syurga sahajalah segala jenis nafsu dapat dipuaskan. Orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di dunia ini adalah orang yang kuat dan kental jiwa dan rohaninya.

Kadang-kadang terfikir juga secara bodoh-bodoh alang, kalau di dunia ini kita dapat bersabar dan penuh redha melihat kemewahan orang yang berharta, berkereta mewah dan berumah mewah sedangkan kita hanya cukup makan serba serbi mungkinlah Allah akan menggantikan keinginan dan kekempunanan kita itu dengan lebih dahsyat lagi di syurga nanti. Dengan syarat janganlah pula kita tidak sabar lalu cuba-cuba pula nak mengejar keinginan itu tadi dengan cara yang kotor dan jijik.

Fikiran bodoh-bodoh alang satu lagi, jika kita masuk apa-apa peraduan atau pertandingan (yang mematuhi syarak) dan tidak menang, kita redha dengan kekalahan itu, mungkin kita akan digantikan pula dengan ganjaran yang lebih besar lagi di syurga nanti. Lebih besar lagi daripada hadiah pertandingan atau peraduan itu tadi. Oleh itu, apa-apa keinginan yang kita tak dapat atau tak mungkin dapat di dunia ini, sabar dan redhalah sepenuh hati dan berdoalah banyak-banyak supaya Allah permudahkan rezeki kita di dunia ini. Kalau tak dikurniakan bagai yang diminta tu, maknanya Allah sedang menangguhkan ganjaran itu dengan yang lebih besar lagi di syurga nanti. Mungkin kalau ianya diberikan semasa di dunia ini kita akan alpa, lupa diri dan berbuat kerosakan.

Kalau melintas sebuah Ferrari, Porsche, Bugatti atau entah apa-apa lagi kereta keluaran terbaru, pandanglah dengan sebelah mata aje, tak payah le nak obses atau takjub sangat kerana di syurga nanti tak dapat nak dibayangkan bagaimana rupa kenderaannya. Bayangkan kereta macamana yang akan Allah ciptakan di syurga nanti, tak main la macam kereta-kereta buatan manusia ni yang mempunyai seribu kelemahan. Sehebat-hebat ciptaan manusia, sudahnya jadi besi buruk juga bila sampai masanya.

Akan tetapi, bagi yang mampu dan yang ada-ada apa salahnya, gunakanlah segala kemewahan tadi sambil mensyukuri nikmatNya di samping tidak lupa pula berbakti kepada yang tiada-tiada. Buat memujuk hati orang yang tiada-tiada ni, ingatlah dengan amalan soleh anda yang tip top, bukan setakat kereta mewah, kenderaan yang..yang..tak tahu nak bayanglah, bayangkanlah sendiri, akan menanti di syurga nanti. Di syurga mungkin tak perlu kereta pun, terbang sahaja ke sana ke mari bak burung-burung yang lepas bebas. Yang penting, selagi kita masih berada di dunia ini, mohonlah keampunan dan mintalah kebaikan atau rezeki banyak-banyak dengan Allah s.w.t kerana Allah Maha Kaya dan sedikitpun tidak akan terkurang khazanah Allah itu.

Jika syurga telah terletak di hati kita, segala impian dan tujuan hidup kita hanya akan berpaksikan semata-mata ke arah mentaati Allah, takut dan harap samada Allah akan pilih atau tidak kita memasuki syurganya, atau sekurang-kurangnya berharap terlepas dari segala seksaan kubur, Mahsyar dan Sirat. Jika anda takut tidak akan terpilih ke syurga, maka berusahalah untuk hidup dengan memperhambakan diri kepada tuntutan-tuntutan agama, jauhi kemungkaran, hiduplah dengan memberi manfaat kepada segala makhluk yang ada di bumi ini dan banyakkan memohon ampun daripada Allah yang Maha Agung. Kita tidak tahu samada Allah redha atau tidak dengan segala perbuatan dan amalan kita di atas dunia ini. Jika Allah redha, selamatlah kita selama-lamaya, abadan abada, kerana kehidupan di dunia ini tidak lebih dari hanya satu persinggahan yang amat singkat. Ayuh sang musafir sekelian! persembahkanlah yang terbaik untuk Allah s.w.t sebelum kita sampai ke destinasi abadi kita.

Mozar : Kalau masa sekolah dulu, kita pasti rasa optimis akan sampai ke umur dewasa, berkerjaya, berkahwin, beranak pinak dan bercucu cicit. Kalau dah bercucu cicit nanti apa lagi benda yang tinggal untuk dioptimiskan lagi selain rasa perlunya kembali kepada Allah dengan penuh persediaan.

Wanita : "Oh Ling! Kau buatku terasa seperti di syurga."
Lelaki : "Hahaha hihihi huhuhu..Ye la tu. Aku pulak...hahaha..rasa..hahaha seperti di...neraka..kahkahkah."

Friday, July 1, 2011

Akhlak Mengatasi Ilmu

“Aku akan menjamin sebuah rumah di tepi syurga bagi siapa saja yang meninggalkan perdebatan meskipun dia yang benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi siapa saja yang meninggalkan kedustaan walaupun dia sedang bergurau. Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi siapa saja yang berakhlak baik.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Akhlak atau adab sopan yang terpuji amatlah dituntut di dalam Islam. Ianya sehingga boleh mengatasi darjat orang yang berpuasa dan sembahyang malam. Siapa yang tidak mahu. Susah ke nak berakhlak baik ni? Mungkin ianya subjektif bagi setiap orang. Lain padang lain belalang. Bagi yang memang terdidik dengan akhlak yang mulia mungkin bersopan santun dalam segala hal memang sudah menjadi darah daging. Kalau terlajak berbuat sesuatu yang tidak baik, rasa gelap dunia, menggelabah dan tidak senang duduk. Bagi yang terdidik dengan akhlak kelas terendah, buatlah apa sahaja yang buruk, hati dia tak ada hal punya. Hatinya pun tak kuasa nak masuk campur.
Peri pentingnya akhlak yang baik dan terpuji ini boleh dilihat dalam banyak hal dalam dunia ini. Salah satu contohnya, apabila melintas seorang yang berakhlak baik, orang akan berkata, "Anak siapa le ni?" sambil mulut mengukir senyuman tulus dan mulus. Sambungnya lagi, "Belajar kat mana la budak ni? Bertuah siapa dapat menantu macam dia ni."
Bila melintas pula si buruk akhlak, orang akan berkata-kata, "Anak sapa...la ni???" sambil mengetap gigi atau ternganga kecil. Sambungnya lagi, "Ngaji mana le gamaknya dia ni? Mak pak dia tak ajar adab ke?
Katakanlah yang budak berakhlak baik tadi kurang ilmu pengetahuan duniawinya, namun dengan akhlaknya yang baik itu dia tetap beruntung di dunia dan di akhirat. Sebaliknya yang buruk akhlak tadi walaupun memiliki ijazah berjela-jela, tetap tidak membuatkannya seorang yang hebat di mata masyarakat. Allah sendiri tidak memandang baik rupa, pangkat, darjat mahupun keturunan seseorang. Tidak semua orang begitu bertuah memiliki IQ yang tinggi tetapi semua orang berpeluang memiliki EQ yang tinggi serta akhlak yang tinggi. Inilah yang dikatakan akhlak mengatasi ilmu. Jika seseorang itu berilmu dan berakhlak mulia dalam masa yang sama, maka orang itulah yang sehabis baik dan layak menjadi pemimpin.
Dalam masalah akhlak ini, nak disalahkan ibubapa bulat-bulat pun tak boleh juga. Walaupun bapa ustaz atau mak ustazah, anak-anak ada juga yang akan jadi kacang hantu. Tidak pun, dalam kalangan anak-anak yang berakhlak mulia, akan ada terselit seorang dua yang kacang hantu. Padahal kasih sayang dan kebendaan diberi sama rata. Bukan salah kedua ibubapanya mengandung sebenarnya. Bapa pun 'mengandung' juga tau, sekejap aje la, tak rasa apa-apa pun.
Budak-budak ni kadang-kadang terpengaruh berakhlak buruk dari pergaulan rakan-rakan. Kalau masa bersama rakan dan taulan lebih banyak daripada masa bersama ibubapa, manalah mereka tak lebih condong mencontohi rakan-rakan. Itulah pentingnya dalam Islam, bagi 7 tahun pertama usia anak-anak, mereka diberi kasih sayang dan kemanjaan sepenuhnya. 7 tahun kedua kalau tak silap, latih dan didik mereka dengan ilmu dan amalan agama. Jika tak sembahyang di umur 7 tahun, boleh dirotan. 7 tahun yang seterusnya, jadikan anak-anak sebagai kawan. Tahun-tahun selepas dari itu anak-anak mula terbang meninggalkan sarang, mereka pun mungkin akan ketemu pasangan masing-masing. Masa itu ibubapa akan mula kehilangan kawan rapat. Namun, bila telah tersemai benih kasih sayang dan didikan sempurna, anak-anak itu Insyaallah akan pandai menjaga diri, maruah diri dan keluarga di samping mendokong akhlak yang terpuji. 'Setinggi-tinggi terbang bangau akhirnya akan balik ke belakang kerbau jua'. Sejauh manapun mereka pergi pasti ibubapa dan keluarga tetap di hati, lalu membawa mereka pulang untuk menabur bakti dan kasih sayang kepada ayah bonda tercinta.

Dalam dunia pekerjaan juga, akhlak pekerja yang baik dan mulia sangat-sangatlah diperlukan. Para majikan di luar sana, apabila anda ingin mengambil seseorang pekerja baru, tidak kira apa jua jawatan, perkara pertama yang perlu anda gali dan selidiki daripada calon-calon pekerja ialah dari segi akhlaknya. Jangan hanya memandang kelulusan dan pencapaian calon semata-mata. Pencapaian calon boleh diperolehi dengan apa jua cara, ada cara jujur, ada juga cara kotor. Pencapaian calon bukan cerminan sebenar samada dia boleh bekerja dengan baik atau tidak. Jika tersalah pilih, dengan mengambil pekerja baru yang buruk akhlaknya, maka lingkuplah organisasi itu. Tambahan pula pekerja yang diambil tidak amanah, berlagak pandai, pandai cakap tak pandai buat, mengulat dan mengular, kaki kapur, kaki bodek, kaki tikam belakang..haishh banyak sangat sifat-sifat buruk pekerja sekarang yang tak dapat dibilang dengan jari lagi. Sebaliknya jika pekerja yang terpilih mulia akhlaknya, walaupun kurang kelulusan sekalipun, anda boleh meletaknya di mana-mana sahaja. Jika dia terkurang ilmu dan kepakaran, dia sanggup dan rela dihantar belajar atau berkursus ilmu-ilmu baru berbanding si kelulusan tinggi yang ego dan perasan pandai dan bagus. Si akhlak baik akan lebih bersyukur, redha, bekerja kerana Allah, lebih setia dan cakaplah apa sahaja sifat-sifat yang mulia, semuanya dia lulus. Kalau macam ni punya kes, nampaknya majikan-majikan perlu adakan satu uji bakat sebelum mengambil seseorang calon mengisi jawatan-jawatan yang kosong. Biar berbaloi bagi jangkamasa yang panjang, bukannya terambil pekerja yang laksana duri dalam daging.

Akhlak atau adab sopan ini hakikatnya boleh dikategorikan dalam beberapa situasi berlainan seperti contohnya akhlak dengan Allah s.w.t, akhlak ketika di khalayak, akhlak ketika bersunyi diri atau tidak dilihat orang dan akhlak ketika bersama makhluk-makhluk Allah yang lain (sekadar beberapa contoh). Mari kita lihat satu persatu akhlak baik dan buruk mengikut kategori-kategori tersebut. Kategori yang mana anda berada banyak bergantung kepada hasil iman, didikan dan kasih sayang yang anda terima selama ini.

Akhlak baik di khalayak boleh dilihat seperti berikut :-
1. Bercakap dengan penuh sopan santun, berfikir sebelum bercakap, tidak meninggikan suara tak tentu pasal, tidak ketawa mengilai-ngilai tetapi tersipu-sipu sambil menutup mulut (ala-ala lelaki atau perempuan melayu terakhir), takut melukai orang lain dengan perkataan atau perbuatan serta banyak lagi contoh-contoh lain. Senang cakap, akhlak yang baik-baik akan membuatkan sesiapa yang melihat akan rasa terharu atau sebak, tak sedar rasa nak tersenyum dan hati pula akan rasa sejuk dan nyaman. Orang yang sedang sakit pun akan rasa lega serba sedikit bila dilayan oleh orang yang berakhlak baik. 
2. Berjalan menundukkan pandangan atau badan lebih-lebih lagi di hadapan orang tua-tua sampaikan ada tiang di depan pun tak sedar.
3. Tidak menarik muncung sepanjang yang boleh bila bersua dengan orang yang tak disukai ataupun ketika mana dia dimarahi atau dikritik.
4.  Mendahulukan orang tua-tua dan kanak-kanak yang berjalan di depannya. Kalau boleh, buat macam Mr. Bean yang terjun tangga semata-mata tak mahu memintas perempuan tua yang sedang terhegeh-hegeh menuruni tangga.
5. Tidak melanggar walau satupun undang-undang jalanraya ala-ala tengah dok ambil driving test. Cuma jangan bawa kereta macam siput sampai menyusahkan orang lain sudah le.

Akhlak yang buruk di khalayak termasuklah :-
1. Memaki hamun, mengutuk, mencarut, meninggi diri, mengadu domba dan pelbagai lagi 'me', 'men' dan 'meng' yang lain.
2. Sendawa durian ketika sembahyang berjemaah. Satu masjid boleh termuntah dibuatnya. Mentang-mentang le tengah musim durian dan dia tak ada kencing manis atau darah tinggi.
3. Kentut besar dan kentut senyap. Kentut besar, serta merta semua orang tahu siapa punya tapi kentut senyap ni bahaya, tak tahu si gerangan empunyanya, tahu tahu dah menusuk kalbu. Lagi satu, ada pula yang kentut besar di kedai CD atau kaset ketika lagu yang bingit sedang dimainkan. Memang tak senonoh!
4. Merokok berkepul-kepul asap di masjid atau surau. Orang lain sibuk berusaha menjauhi walaupun asap api neraka pada ketika itu, mereka pula sibuk menyedut asap dunia sedalam-dalamnya.
5. Meludah, membuang kahak dan menghembus hingus merata-rata tempat tak kira orang lain tengah makan atau berehat-rehat. Tak ada sivik punya orang!
6. Duduk berlonggok sambil menganyam ketupat tak kira lelaki atau perempuan. Asal berlonggok, menganyam ketupat berlonggok-longgok (yang ni susah... sangat nak elak, gatal aje kerongkong dan ketiak nak cerita hal-hal orang lain). Lebih gempak lagi, sekarang ni aktiviti menganyam ketupat ni dah boleh dibuat melalui Facebook atau laman-laman sosial yang lain. Tak payah buang-buang air liur lagi. Oh! betapa bertuahnya kita.
7. Parkir di petak orang kelainan upaya (OKU). Elok-elok Allah bagi kaki dan upaya, tak nak guna sebaik mungkin. Parkir le jauh sikit. Tak le menyusahkan OKU. Pentingkan diri sendiri! 

Akhlak baik ketika bersunyi diri atau ketika tidak dilihat orang adalah seperti berikut :-
1. Mengetepikan duri, kulit pisang atau sebarang halangan di jalanan sampai orang ingat anda pekerja perbandaran.
2. Menyelamatkan anak kucing atau anak itik Tok Wi yang jatuh dalam parit. Cuma jangan pula cuba melepaskan anjing yang tersepit. Sia-sia kena tokak balik.
3. Membuang tahi cicak atau sampah kecil dalam masjid dan surau bila sahaja ternampak. Jangan asyik nak tunggu tok siak aje yang datang buat. Last-last anda sendiri yang akan tersujud di atas tahi cicak.
4. Tidak komplen walau sepatahpun bila menghadapi hidangan makanan di mana-mana sahaja walaupun ianya yang dimasak oleh sang isteri yang tak reti masak (orang lain pandai masak 3 rasa tapi dia hanya pandai memasak satu rasa aje-tak sedap!!). Tak baik sebenarnya mencaci makanan, Allah yang beri sedap dan Allah juga yang beri tak sedap. Hantar je bini 'satu rasa' tu berguru dengan Chef Wan. Silap-silap dia pula jadi Chef Selebriti.
5. Melayari Internet dengan bahan-bahan yang berfaedah dan berinspirasi seperti Sembang Kala Senggang ni (piiirahh). Tak payah le layan gambar-gambar atau video-video orang miskin papa kedana yang bersepah-sepah dalam tu.

Akhlak buruk ketika bersunyi diri atau ketika tidak dilihat orang jatuh kepada perkara-perkara berikut :-
1. Tidak mengepam (flush) tandas atau pam tak habis selepas qada hajat. Lepas tu cepat-cepat berlalu supaya orang tak nampak dan tak tahu benda tu dia yang punya. Orang macam ni hanya layak duduk dalam hutan aje, boleh berak merata-rata. Alih-alih lepas tu orang yang last masuk la yang jadi mangsa kena pam, takut dia yang tertuduh empunya benda. Takkan nak cakap kat orang yang masuk kemudian,itu orang lain punya. Mesti orang tak percaya. Takkan sampai kena buat ujian DNA pulak. Lainlah kalau dalam jamban tu ada kes bunuh sejurus selepas tu.
2. Meninggalkan komen-komen yang bersifat anonymous berbau kejian, makian, carutan, cercaan terhadap mana-mana blog-blog, facebook atau laman web.
3. Merosakkan harta benda awam yang molek-molek sehingga menyusahkan orang lain. Yang menggores (dan kalah), mencalar dan memancitkan tayar kereta cikgu pula dilakukan oleh murid-murid kacang hantu yang tiada akhlak.
4. Menipu dalam timbangan atau menipu dalam ramuan bila berniaga. Penimbang diadjust bagi lebih bacaannya atau langsung tak pernah dikalibrasi. Dalam ramuan pula contohnya, patut letak dua senduk ramuan, dia letak satu senduk aje. Berdosa tau!
5. Sembahyang bagai ayam sedang mematuk biji-bijian ketika berseorangan. Tomakninah entah ke mana, bacaan entah sempurna entah tidak. Rakaat pun entah cukup entah tidak.
6. Bila diamanahkan mengutip dan menyimpan wang dia pula membuka tabung amanahnya sendiri. Bila dibentang belanjawan, figurenya diadjust baekkk punya.

Amacam, senang atau susah untuk berakhlak baik dan terpuji? Kalau diberi soalan ujian tentang akhlak ni rasanya ramai yang akan fail termasuk saya sendiri. Sebab itulah darjat dan kedudukan orang berakhlak baik ini sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Tak semestinya orang yang penuh pelbagai ilmu yang baik dan bermanfaat di dada akan baik 100% akhlaknya. Sebaliknya, tidak semestinya orang yang tidak banyak ilmu itu tidak boleh berkhlak mulia dan terpuji. Oleh itu, mulai dari saat ini muhasabahlah diri, insafi diri dan perbaiki mana-mana kekurangan akhlak dalam diri supaya kita lebih redha dengan ketentuan Allah dan Allah redha dengan kita. Contohilah dan jadikanlah panduan akhlak unggul junjungan besar kita Rasulullah s.a.w.

Mozar : Akhlak Nabi s.a.w boleh menarik orang yang belum Islam untuk memeluk Islam sebaliknya akhlak umat Islam hari ini boleh membuatkan orang bukan Islam berjalan mundar mandir tak keruan serta tak tidur malam fikir nak masuk Islam atau tak nak masuk Islam. Fikir-fikirkanlah.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...