Thursday, June 26, 2014

Marhaban Ya Ramadhan 1435H!

Marhaban Ya Ramadhan! Selamat datang wahai Ramadhan! Kami sentiasa menanti-nantikan kehadiranmu. Selamat lahir anak bulanmu yang bongsu. Sekelian orang-orang yang beriman tentu sekali berasa riang gembira akan kehadiranmu buat kesekian kalinya wahai Ramadhan.

Anda bagaimana? Sudah terujakah anda? Tidak berapa hari lagi sahaja Ramadhan akan menjengah. Ibarat seorang tetamu agung yang akan datang menziarahi kita. Bukakanlah pintu-pintu hati kita untuk menerima tetamu agung ini. Ia akan mengetuk pintu-pintu hati orang-orang mukmin dan mukminat. Maka jemputlah ia masuk ke dalam hati-hati kita. Terimalah tetamu ini dengan penuh rasa syukur dan hiba. Padanya kita akan beroleh berkat dan kemanfaatan yang bukan sedikit di akhirat kelak mahupun di dunia ini.

Persetankan segala tanggapan dan caci hina puak-puak kafirun yang tidak jemu-jemu berusaha memperlekeh dan menghancurkan Islam yang suci murni ini. Mari sama-sama kita zahirkan kesucian agama Islam ini biar yang mencemuh dan menghina itu akan terbelalak biji matanya, jika tidak di sini, ketika kematian mereka nanti. Jika kita umat Islam sendiri yang berbuat onar, masakan yang masih buta hidayah dapat melihat keindahan agama ini.

Biarlah dicerca bau mulut orang berpuasa ini busuk dan menyusahkan orang lain. Berpuasa menurut ajaran Islam 'ridiculous' katanya. Biar, biar dan biar sahaja. Siapa yang bodoh, siapa yang pandai. Sebijak-bijak otak manusia dijadikan Allah, kenapa tidak terfikir langsung akan keajaiban-keajaiban ciptaan Allah yang ada di mana-mana ini. Tidak perlu sebenarnya bila tiba-tiba kita melihat bagaikan magis, pepohon kayu dan haiwan tiba-tiba terjelma menjadi juadah yang menyelerakan baru hendak terbit iman di dalam hati kepada kekuasaan Allah. Keajaiban Allah itu ada di mana-mana. Di mana-mana(diulangi). Di dalam diri kita sendiri sahajapun tidak terhitung segala keajaiban Allah itu tiap detik dan ketika.

Penciptaan manusia sedari janin juga sudah membuatkan kita 'surrender' untuk memikirkannya dengan jauh mendalam. Sungguh tidak tercapai oleh akal manusia. Siapakah yang menciptanya? Bukankah semua itu Allah jua yang punya kuasa. Bukanlah kuasa tersebut datangnya daripada benda yang tidak bernyawa, bukan juga perlukan benda perantaraan dan bukan juga perlu tuhan itu dicipta-ciptakan. Agama Allah ini adalah agama untuk orang yang mahu berfikir secara aktif dan secara spiritual dan bukannya yang hanya melihat sesuatu sedari luaran semata-mata ataupun secara logik akal manusia. Hanya yang mempunyai kecerdasan akal fikiran dan mental sahaja yang pasti menemui hidayah Allah s.w.t.

Seumpama menonton TV contohnya, adakah kita 'melihat' TV ataupun kita melihat gambar atau pengisian rancangan di dalamnya? Jika ada yang hanya 'melihat' TV sahaja, sampai matilah dia akan dicop sebagai tolol dan dungu. Secara di bawah sedar sebenarnya kita 'menonton' rancangan di dalam TV dan bukannya 'melihat' TV. Jika kita tidak dikurniakan akal dan otak yang berkemahiran 'menonton' rancangan TV yang ke udara itu, kita sudah boleh digelar gila atau tidak berakal. Begitulah juga manusia. Semua insan yang waras dikurniakan akal yang boleh berfikir. Berfikirlah jauh sedikit melangkaui apa yang hanya ada di depan mata. Carilah pencipta kita, carilah di mana asal kita dan fikirkanlah apa kesudahan kehidupan kita nanti. Jika benar-benar tahu memanfaatkan otak, tidak mustahil langsung kesemua manusia yang hidup di atas dunia ini akan dipertemukan dengan sang Pencipta kita iaitulah Allah s.w.t.

Apapun, berbanyaklah bersyukur bilamana kita sampai ke bulan Ramadhan tahun ini nanti. Tanamkan azam yang baru bahawa Ramadhan kali ini mestilah yang terbaik sekali yang pernah kita lalui sepanjang hidup. Berbalik kepada soal mulut berbau, memang tepat sekali Allah menjadikannya berbau di sepanjang Ramadhan ini. Ini bukannya bulan-bulan biasa. Inilah masanya untuk melatih diri untuk kurangkan percakapan yang sia-sia. Lazimnya, cakap-cakap yang sia-sia itu datangnya dari perbuatan mengumpat, mengkeji, mengherdik, mencarut marut dan sebagainya. Orang yang mengumpat biasanya akan duduk rapat-rapat, berbisik-bisik sambil mata bertentang mata. Seronok tak kalau mengumpat jauh-jauh atau terjerit-jerit? Elok benarlah mulut dijadikan busuk, maka tidaklah sanggup kedua-dua pengumpat bibir bertemu telinga masing-masing di masa-masa sedang berpuasa ini. Yang memaki hamun pula tentu tak seronok kalau terkemut-kemut suara menahan bau nafas dari terhidu oleh orang lain. Maka dengan itu, niat memaki hamun pula akan terbantut di situ.

Sekianlah dahulu buat kali ini, Semoga bertemu lagi di bulan Ramadhan nanti, InsyaAllah. Yang terkasar bahasa, terlanjur mengguris atau yang tersilap budi bicara harap dimaafkan. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang lebih sempurna dari yang sebelum-sebelumnya. Amin.

Mozar : Bagi menyambut kedatangan Ramadhan ini, tidak salah kiranya kita memperindahkan rumah-rumah kita. Bukan sahaja Raya yang perlu indah, tetapi Ramadhan juga harus cantik, indah dan berseri-seri. Barulah yang masih belum kembali Islam akan kembali berbunga-bunga di hati mereka melihat keindahan Islam itu semula.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...